Monday 27 June 2011

Perutusan Presiden ANGKASA

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Pada tahun ini sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) diberikan keistimewaan apabila tempohnya dijadikan selama satu bulan daripada 1hb hingga 30hb Jun 2011 berbanding hanya satu minggu pada tahun-tahun sebelumnya. Ini bertujuan memberi peluang kepada koperasi sekolah untuk mengadakan sambutan
HKS mengikut tarikh yang bersesuaian dengan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan oleh pihak pentadbiran sekolah. Secara tidak langsung juga, koperasi sekolah boleh merancang untuk menggadakan aktiviti dengan lebih terancang dan berkesan kepada semua warga sekolah.


ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi di negara ini, senantiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada koperasi sekolah untuk terus memajukan koperasi sekolah supaya ianya sentiasa seiring dengan keperluan dan kehendak warga koperasi sekolah. Oleh itu, HKS dianggap sebagai satu acara yang
boleh memenuhi sebahagian keperluan dan kehendak warga koperasi sekolah di samping memenuhi aspirasi kerajaan yang ingin memastikan pembangunan modal insan berbudaya keusahawanan berasaskan pengetahuan (k-ekonomi). 


Selain itu juga, bagi memenuhi keperluan dan kehendak warga koperasi sekolah ANGKASA kini giat mempromosikan Barangan Untuk Koperasi Sekolah ANGKASA atau BUSANA. Di antara barangan yang dibekalkan ialah uniform sekolah dan barangan lain seperti beg, kasut, songkok, baju-T dan kertas A4.


Koperasi sekolah digalakkan untuk mengambil bahagian dengan mengedarkan bekalan ini sebagai memenuhi keperluan anggota koperasi sekolah kerana barangan yang ditawarkan adalah berkualiti dan harga lebih rendah berbanding pasaran luar. Oleh kerana itu, tema HKS pada tahun ini ialah “1 untuk semua, semua
untuk 1” yang memberi gambaran bagaimana koperasi boleh memainkan peranan menyatupadukan keperluan dan kehendak anggota untuk mendapat manafaat bersama. Hasilnya anggota akan dapat memenuhi keperluan dan kehendak tema yang selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat koperasi sebagai satu medium perpaduan di kalangan masyarakat. Koperasi sekolah boleh memainkan peranan untuk anggota yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk bersama-sama membangunkan ekonomi melalui aktiviti perniagaan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada semua peringkat di persekitaran sekolah.


Oleh itu, ANGKASA selaku badan puncak koperasi senantiasa memainkan peranan untuk menggerakkan koperasi sekolah selaras dengan tuntutan semasa. Dalam usaha tersebut, ANGKASA tanpa rasa jemu terus mempromosikan nilai dan prinsip koperasi; SADIK, AMANAH, TELUS kerana dengan nilai inilah semua
perkara termasuk usaha membangunkan koperasi sekolah untuk dijadikan sebagai persekitaran yang boleh mendorong anggota koperasi berfikir secara kreatif dan inovatif dapat dijayakan pada masa kini dan hadapan.
Setiap kegiatan yang hendak dilaksanakan perlulah mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan berinovasi berteraskan nilai dan prinsip koperasi. Ini dapat dilaksanakan sekiranya anggota koperasi sekolah diberikan bimbingan sewajarnya oleh guru dan dibantu atau disokong oleh program-program yang dianjurkan oleh
ANGKASA. 


Oleh kerana itu, HKS dianggap sebagai titik permulaan terbaik untuk pelajar menterjemahkan apa-apa juga nilai koperasi dalam kegiatan yang dilaksanakan dan berusaha secara keusahawanan bagi memberikan yang terbaik kepada anggota dan masyarakat lainnya.


Diharapkan sambutan HKS peringkat sekolah kali ketiga ini akan memberi makna dan semangat berkoperasi kepada setiap inidividu yang terlibat dalam sambutan ini. Sekian, Selamat Menyambut Hari Koperasi Sekolah 2011.

Perutusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia,


Tahniah kepada koperasi sekolah yang berjaya melaksanakan sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) di peringkat sekolah masing-masing semenjak tahun 2006 hingga tahun ini, 2011. 


Koperasi sekolah dianggap sebagai wadah terbaik untuk membangunkan modal insan yang berwibawa untuk negara pada masa hadapan. Ini merupakan Teras Strategik III di dalam Dasar Koperasi Negara II yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 hingga 2020. Di antara perkara yang diberi keutamaan ialah, Berpemikiran kreatif, inovatif dan berbudaya keusahawanan, Profesionalisme dalam pengurusan, Penguasaan ilmu berkoperasi, danPembelajaran berterusan.


Oleh itu, saya menggalakkan koperasi sekolah memupuk budaya keusahawanan kepada para pelajar dengan memberi pendedahan teknik perniagaan termasuk pengurusan kewangan, kaedah pemasaran, pembangunan produk dan usaha sama rakan kongsi dalam memastikan asas perniagaan diaplikasikan dengan teratur dan berkesan. 


Sempena sambutan HKS ini, pihak kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan ANGKASA menggalakkan koperasi sekolah turut mengambil bahagian dalam Program Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah. Program ini merupakan satu program yang memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan dengan bantuan dan bimbingan guru koperasi. Saya percaya
pendedahan secara praktikal ini bukan sahaja memberi pelajar pengalaman mengusahakan perniagaan tetapi memberi kefahaman asas ekonomi dan kepenggunaan.


 Ini merupakan ciri terpenting dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk melonjakkan ekonomi negara pada masa hadapan. Peranan koperasi sekolah kini bukan sahaja untuk menerapkan prinsip-prinsip dan jatidiri koperasi, tetapi perlu dikembangkan supaya menjadi sebuah institusi pendidikan keusahawanan yang mantap. Adalah menjadi harapan saya, peluang ini dimanafatkan sebaik mungkin oleh anggota koperasi sekolah kerana mereka akan mengisi ruang kepimpinan koperasi dan usahawan pada masa hadapan. Inilah hasrat kerajaan melalui Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menggalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan apabila menceburi bidang pekerjaan. Di samping itu, pemikiran yang kreatif akan menjadikan anggota koperasi sebagai seorang pengguna yang sentiasa peka dengan aspirasi kerajaan dan bertindak balas secara rasional kepada persekitaran kepenggunaannya.


Saya dan pihak Kementerian merasa bangga dengan kesungguhan dan minat yang ditunjukkan oleh koperasi sekolah dalam membangunkan koperasi sekolah. Ucapan tahniah ditujukan kepada ALK khususnya guru-guru koperasi yang begitu bersemangat memikul tanggungjawab berkoperasi walaupun sibuk dengan tugas hakiki. Tentunya gurulah golongan yang paling gembira apabila anak-anak didik koperasinya turut berjaya dalam menguruskan koperasi dan akhirnya mampu diterjemahkan apabila dewasa kelak. 


Semoga tema pada tahun ini iaitu, ”1 untuk semua, semua untuk 1” akan memberikan makna kepada semua warga sekolah. Selamat Maju Jaya !

PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KOPERASI SEKOLAH 2011

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama lagi menyambut perayaan Hari Koperasi Sekolah (HKS) di semua sekolah seluruh negara buat tahun keenam, mulai 1 hingga 30 Jun 2011. Tempoh ini diharapkan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh koperasi sekolah untuk melaksanakan HKS dengan lebih teratur dan berkesan dengan pelbagai aktiviti yang boleh memberi pendedahan kepada pelajar tentang ilmu koperasi dan keusahawanan. Saya ingin
mengucapkan tahniah kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang sentiasa memberi perhatian kepada gerakan koperasi sekolah dengan pelbagai program yang memberi manfaat kepada pelajar.

Setiap sekolah sememangnya digalakkan untuk menubuhkan koperasi sekolah dan sekaligus menjadi ahli ANGKASA. Dengan gabungan dan jalinan kerjasama yang terbentuk di antara Kementerian Pelajaran, ANGKASA dan koperasi sekolah, pelbagai program pembangunan dapat dirangka bagi manfaat para pelajar. Diharapkan kerjasama ini dapat diterus dan diperluaskan bagi manfaat semua warga sekolah.
Tema “1 UNTUK SEMUA, SEMUA UNTUK 1” telah dipilih pada tahun ini sebagai satu tema yang mengambarkan kepentingan koperasi sebagai agen pembangunan ekonomi masyarakat. Ini adalah bersesuaian dengan koperasi yang telah diiktiraf sebagai sektor ketiga selepas sektor awam dan sektor swasta. Koperasi sekolah perlu diberikan perhatian bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam usaha membantu kerajaan menjayakan Dasar Koperasi Negara II. Ia juga adalah selaras dengan aspirasi Model Baru Ekonomi dan Pelan Tranformasi Ekonomi yang turut memberi fokus kepada sektor perkhidmatan dan kepenggunaan bagi memastikan Malaysia dapat dipacu ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi pada masa hadapan. Saya percaya bahawa koperasi sekolah mampu menjadi landasan terbaik dalam usaha membangunkan modal insan negara di dalam bidang keusahawanan.

Tahniah diucapkan kepada seluruh warga sekolah yang berusaha gigih bagi memastikan HKS 2011 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selamat Menyambut Hari Koperasi Sekolah.

Pengenalan- Hari Koperasi Sekolah

Sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) telah mula diperkenalkan sejak tahun1995 dengan aktiviti pertandingan seperti kuiz koperasi, pidato, penulisan esei dan berpantun di peringkat zon, negeri dan kebangsaan. 


Pada tahun 2006, HKS telah diubah format penganjuran apabila sambutan HKS dianjurkan sendiri oleh koperasi sekolah dengan pelbagai aktiviti berdasarkan garis panduan yang disediakan oleh pihak ANGKASA.


Sambutan HKS di peringkat sekolah ini diadakan bertujuan untuk
memberitahu kepada warga sekolah dan masyarakat setempat akan
kewujudan koperasi sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik para pelajar supaya mempunyai jatidiri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi.


Koperasi sekolah telah diiktiraf sebagai salah satu kegiatan ko-kurikulum yang terpenting disekolah. Sehingga Disember 2010, sebanyak 2115 buah koperasi sekolah telah ditubuhkan dan 1,885 daripadanya telah menjadi ahli ANGKASA. Pada tahun 2010, sambutan HKS mendapat perhatian utama apabila sambutan HKS Peringkat Kebangsaan telah dirasmikan oleh Y.A.B Timbalan  Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran di SMK Bera Bandar
32, Pahang pada 9 Ogos 2010.


Pada tahun itu juga, sambutan HKS peringkat sekolah telah berjaya
dilaksanakan oleh 1,573 koperasi sekolah berbanding hanya 1,430 pada tahun 2009. Hasil daripada laporan bertulis yang diterima daripada koperasi sekolah, sambutan HKS telah mendapat sambutan baik daripada warga sekolah dan masyarakat setempat. Ini bermakna, sambutan HKS telah berjaya menonjolkan koperasi sekolah sebagai satu entiti penting di sekolah dalam usaha menyemai nilai-nilai koperasi di kalangan anggota.


Selain daripada itu sambutan HKS merupakan usaha yang diadakan bagi memperkasakan pelajar (anggota koperasi) terhadap koperasi sekolah. Ia juga sebagai satu kegiatan untuk memupuk budaya kerjasama dan keusahawanan disamping meningkatkan daya usaha dan kreativiti pelajar.

Wednesday 22 June 2011

Koperasi SMK Dato'Dol Said - KOPERASI SEKOLAH DI MALAYSIA

Koperasi SMK Dato'Dol Said ditubuh pada 30 Oktober 1974. Koperasi ini telah beroperasi selama 37 tahun. Bagi menjadi koperasi sekolah yang terbaik di Malaysia pada masa yang akan datang, apakah kata-kata yang anda ingin sampaikan ?

Tuesday 21 June 2011

Malaysia mampu jadi model terbaik koperasi sekolah

Malaysia mampu menjadi model terbaik dalam pengurusan koperasi sekolah di peringkat antarabangsa apabila semakin banyak negara di Asia berhasrat mencontohi negara ini dalam bidang tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa negara termasuk Jepun, India dan Fiji telah datang ke negara ini bagi menjalankan kajian bagi mempelajari selok belok pengurusan koperasi sekolah.
Malah, kata beliau, ada negara yang mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Malaysia untuk melaksanakan program Pelancongan Koperasi Sekolah.
“Beberapa negara yang berhasrat menubuhkan koperasi sekolah seperti Fiji, India dan Jepun telah datang untuk membuat kajian di Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) serta mempelajari selok belok pengurusan koperasi sekolah secara serius.
“Difahamkan Iran telah mengadakan MoU dengan negara kita untuk salah satu program di bawah koperasi sekolah iaitu Pelancongan Koperasi Sekolah,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera Bandar 32 dekat sini hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, minat yang ditunjukkan itu membuktikan keyakinan negara luar terhadap Malaysia dalam pengurusan koperasi sekolah yang amat tersusun di bawah penyeliaan Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Menurut beliau, koperasi sekolah mampu memberi saingan kepada koperasi dewasa jika mempunyai perancangan tersusun dan konsisten selain semangat yang gigih daripada pelajar dan guru.
“Apa yang paling penting adalah sokongan dan ruang perniagaan yang diberikan pengetua sekolah terhadap koperasi masing-masing,” katanya.

Sejarah Hari Koperasi

Koperasi Sekolah merupakan elemen penting untuk melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri yang terpuji melalui kegiatan yang dijalankan berlandaskan nilai dan prinsip koperasi. Untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya Koperasi Sekolah, ANGKASA menganjurkan Perayaan Hari Koperasi Sekolah(HKS) pada tahun 13 Ogos 1995. Sejak dari tarikh tersebut, Perayaan ini disambut setiap tahun.

Berbagai-bagai aktiviti dijalankan sempena HKS. Antaranya ialah pertandingan kuiz, petanq, melukis, menulis esei dan seminar. Pertandingan kuiz Koperasi Sekolah telah bermula sejak 1991 lagi. Memandangkan pertandingan kuiz ini mendapat sambutan yang menggalakkan, ANGKASA menjadikannya sebagai aktiviti tetap semasa sambutan HKS. Pertandingan ini menguji keupayaan pelajar sejauh mana pengetahuan mereka tentang koperasi. Acara Pantun dan Pidato juga dipertandingkan semasa pertandingan kuiz HKS ini.

Dalam tahun 1995 juga, ANGKASA menawarkan hadiah lawatan ke luar negara kepada pelajar terbaik pertandingan kuiz. Pada tahun itu, tiga orang pelajar telah dihantar ke Manchester manakala pada tahun berikutnya dua orang pelajar mengikuti lawatan ke negara Jepun (1996, 2000, 2002 dan 2003), Switzerland, Bangkok, Canada, Korea, Singapura dan Indonesia. Bagi pasukan Johan Pertandingan Kuiz dan Petanq, mereka dibawa lawatan ke Negara ASEAN seperti Indonesia, Cambodia, Thailand dan Singapura di samping hadiah sebuah komputer peribadi bagi pasukan kuiz dan sebuah gelanggang petanq bagi pasukan petanq.

Perkembangan yang begitu menggalakkan untuk sambutan HKS ini dapat dilihat melaiui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan. Atas sokongan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan permintaan daripada pihak koperasi sekolah, HKS dianjurkan di peringkat zon dan negeri. Pada tahun 2005, lebih daripada 4884 orang daripada 1221 buah koperasi sekolah telah menyertai HKS di peringkat zan dan negeri manakala 1335 orang daripada 156 buah koperasi sekolah telah menyertai HKS peringkat Kebangsaan di Kelana Jaya.


Sepuluh tahun telah berlalu, ANGKASA meneliti dan mengkaji cara penganjuran dan kesan sambutan HKS. Memandangkan bilangan koperasi sekolah ahli ANGKASA adalah 1473 buah dan bilangan keanggotaan melebihi 1.5 juta orang, penyertaan 4884 orang dalam tahun 2005 adalah terlalu kecil iaitu kurang daripada satu peratus. Ekoran daripada itu, tahun 2006 merupakan tahun di mana HKS ini akan dibuat satu perubahan besar dari segi penganjurannya. HKS akan disambut di peringkat sekolah dengan tujuan utama untuk mencanangkan kewujudan dan peranan koperasi sekolah serta menggembleng penyertaan menyeluruh meliputi pelajar, guru, kakitangan, PIBG dan masyarakat setempat. Dengan sambutan di peringkat sekolah ini, ANGKASA menjangkakan lebih daripada 1.5 iuta orana akan terlibat dengan sambutan ini.