Monday 27 June 2011

PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KOPERASI SEKOLAH 2011

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama lagi menyambut perayaan Hari Koperasi Sekolah (HKS) di semua sekolah seluruh negara buat tahun keenam, mulai 1 hingga 30 Jun 2011. Tempoh ini diharapkan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh koperasi sekolah untuk melaksanakan HKS dengan lebih teratur dan berkesan dengan pelbagai aktiviti yang boleh memberi pendedahan kepada pelajar tentang ilmu koperasi dan keusahawanan. Saya ingin
mengucapkan tahniah kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang sentiasa memberi perhatian kepada gerakan koperasi sekolah dengan pelbagai program yang memberi manfaat kepada pelajar.

Setiap sekolah sememangnya digalakkan untuk menubuhkan koperasi sekolah dan sekaligus menjadi ahli ANGKASA. Dengan gabungan dan jalinan kerjasama yang terbentuk di antara Kementerian Pelajaran, ANGKASA dan koperasi sekolah, pelbagai program pembangunan dapat dirangka bagi manfaat para pelajar. Diharapkan kerjasama ini dapat diterus dan diperluaskan bagi manfaat semua warga sekolah.
Tema “1 UNTUK SEMUA, SEMUA UNTUK 1” telah dipilih pada tahun ini sebagai satu tema yang mengambarkan kepentingan koperasi sebagai agen pembangunan ekonomi masyarakat. Ini adalah bersesuaian dengan koperasi yang telah diiktiraf sebagai sektor ketiga selepas sektor awam dan sektor swasta. Koperasi sekolah perlu diberikan perhatian bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam usaha membantu kerajaan menjayakan Dasar Koperasi Negara II. Ia juga adalah selaras dengan aspirasi Model Baru Ekonomi dan Pelan Tranformasi Ekonomi yang turut memberi fokus kepada sektor perkhidmatan dan kepenggunaan bagi memastikan Malaysia dapat dipacu ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi pada masa hadapan. Saya percaya bahawa koperasi sekolah mampu menjadi landasan terbaik dalam usaha membangunkan modal insan negara di dalam bidang keusahawanan.

Tahniah diucapkan kepada seluruh warga sekolah yang berusaha gigih bagi memastikan HKS 2011 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selamat Menyambut Hari Koperasi Sekolah.

No comments:

Post a Comment