Monday 27 June 2011

Perutusan Presiden ANGKASA

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Pada tahun ini sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) diberikan keistimewaan apabila tempohnya dijadikan selama satu bulan daripada 1hb hingga 30hb Jun 2011 berbanding hanya satu minggu pada tahun-tahun sebelumnya. Ini bertujuan memberi peluang kepada koperasi sekolah untuk mengadakan sambutan
HKS mengikut tarikh yang bersesuaian dengan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan oleh pihak pentadbiran sekolah. Secara tidak langsung juga, koperasi sekolah boleh merancang untuk menggadakan aktiviti dengan lebih terancang dan berkesan kepada semua warga sekolah.


ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi di negara ini, senantiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada koperasi sekolah untuk terus memajukan koperasi sekolah supaya ianya sentiasa seiring dengan keperluan dan kehendak warga koperasi sekolah. Oleh itu, HKS dianggap sebagai satu acara yang
boleh memenuhi sebahagian keperluan dan kehendak warga koperasi sekolah di samping memenuhi aspirasi kerajaan yang ingin memastikan pembangunan modal insan berbudaya keusahawanan berasaskan pengetahuan (k-ekonomi). 


Selain itu juga, bagi memenuhi keperluan dan kehendak warga koperasi sekolah ANGKASA kini giat mempromosikan Barangan Untuk Koperasi Sekolah ANGKASA atau BUSANA. Di antara barangan yang dibekalkan ialah uniform sekolah dan barangan lain seperti beg, kasut, songkok, baju-T dan kertas A4.


Koperasi sekolah digalakkan untuk mengambil bahagian dengan mengedarkan bekalan ini sebagai memenuhi keperluan anggota koperasi sekolah kerana barangan yang ditawarkan adalah berkualiti dan harga lebih rendah berbanding pasaran luar. Oleh kerana itu, tema HKS pada tahun ini ialah “1 untuk semua, semua
untuk 1” yang memberi gambaran bagaimana koperasi boleh memainkan peranan menyatupadukan keperluan dan kehendak anggota untuk mendapat manafaat bersama. Hasilnya anggota akan dapat memenuhi keperluan dan kehendak tema yang selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat koperasi sebagai satu medium perpaduan di kalangan masyarakat. Koperasi sekolah boleh memainkan peranan untuk anggota yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk bersama-sama membangunkan ekonomi melalui aktiviti perniagaan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada semua peringkat di persekitaran sekolah.


Oleh itu, ANGKASA selaku badan puncak koperasi senantiasa memainkan peranan untuk menggerakkan koperasi sekolah selaras dengan tuntutan semasa. Dalam usaha tersebut, ANGKASA tanpa rasa jemu terus mempromosikan nilai dan prinsip koperasi; SADIK, AMANAH, TELUS kerana dengan nilai inilah semua
perkara termasuk usaha membangunkan koperasi sekolah untuk dijadikan sebagai persekitaran yang boleh mendorong anggota koperasi berfikir secara kreatif dan inovatif dapat dijayakan pada masa kini dan hadapan.
Setiap kegiatan yang hendak dilaksanakan perlulah mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan berinovasi berteraskan nilai dan prinsip koperasi. Ini dapat dilaksanakan sekiranya anggota koperasi sekolah diberikan bimbingan sewajarnya oleh guru dan dibantu atau disokong oleh program-program yang dianjurkan oleh
ANGKASA. 


Oleh kerana itu, HKS dianggap sebagai titik permulaan terbaik untuk pelajar menterjemahkan apa-apa juga nilai koperasi dalam kegiatan yang dilaksanakan dan berusaha secara keusahawanan bagi memberikan yang terbaik kepada anggota dan masyarakat lainnya.


Diharapkan sambutan HKS peringkat sekolah kali ketiga ini akan memberi makna dan semangat berkoperasi kepada setiap inidividu yang terlibat dalam sambutan ini. Sekian, Selamat Menyambut Hari Koperasi Sekolah 2011.

No comments:

Post a Comment