Monday 27 June 2011

Perutusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia,


Tahniah kepada koperasi sekolah yang berjaya melaksanakan sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) di peringkat sekolah masing-masing semenjak tahun 2006 hingga tahun ini, 2011. 


Koperasi sekolah dianggap sebagai wadah terbaik untuk membangunkan modal insan yang berwibawa untuk negara pada masa hadapan. Ini merupakan Teras Strategik III di dalam Dasar Koperasi Negara II yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 hingga 2020. Di antara perkara yang diberi keutamaan ialah, Berpemikiran kreatif, inovatif dan berbudaya keusahawanan, Profesionalisme dalam pengurusan, Penguasaan ilmu berkoperasi, danPembelajaran berterusan.


Oleh itu, saya menggalakkan koperasi sekolah memupuk budaya keusahawanan kepada para pelajar dengan memberi pendedahan teknik perniagaan termasuk pengurusan kewangan, kaedah pemasaran, pembangunan produk dan usaha sama rakan kongsi dalam memastikan asas perniagaan diaplikasikan dengan teratur dan berkesan. 


Sempena sambutan HKS ini, pihak kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan ANGKASA menggalakkan koperasi sekolah turut mengambil bahagian dalam Program Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah. Program ini merupakan satu program yang memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan dengan bantuan dan bimbingan guru koperasi. Saya percaya
pendedahan secara praktikal ini bukan sahaja memberi pelajar pengalaman mengusahakan perniagaan tetapi memberi kefahaman asas ekonomi dan kepenggunaan.


 Ini merupakan ciri terpenting dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk melonjakkan ekonomi negara pada masa hadapan. Peranan koperasi sekolah kini bukan sahaja untuk menerapkan prinsip-prinsip dan jatidiri koperasi, tetapi perlu dikembangkan supaya menjadi sebuah institusi pendidikan keusahawanan yang mantap. Adalah menjadi harapan saya, peluang ini dimanafatkan sebaik mungkin oleh anggota koperasi sekolah kerana mereka akan mengisi ruang kepimpinan koperasi dan usahawan pada masa hadapan. Inilah hasrat kerajaan melalui Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menggalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan apabila menceburi bidang pekerjaan. Di samping itu, pemikiran yang kreatif akan menjadikan anggota koperasi sebagai seorang pengguna yang sentiasa peka dengan aspirasi kerajaan dan bertindak balas secara rasional kepada persekitaran kepenggunaannya.


Saya dan pihak Kementerian merasa bangga dengan kesungguhan dan minat yang ditunjukkan oleh koperasi sekolah dalam membangunkan koperasi sekolah. Ucapan tahniah ditujukan kepada ALK khususnya guru-guru koperasi yang begitu bersemangat memikul tanggungjawab berkoperasi walaupun sibuk dengan tugas hakiki. Tentunya gurulah golongan yang paling gembira apabila anak-anak didik koperasinya turut berjaya dalam menguruskan koperasi dan akhirnya mampu diterjemahkan apabila dewasa kelak. 


Semoga tema pada tahun ini iaitu, ”1 untuk semua, semua untuk 1” akan memberikan makna kepada semua warga sekolah. Selamat Maju Jaya !

No comments:

Post a Comment