Tuesday 21 June 2011

Malaysia mampu jadi model terbaik koperasi sekolah

Malaysia mampu menjadi model terbaik dalam pengurusan koperasi sekolah di peringkat antarabangsa apabila semakin banyak negara di Asia berhasrat mencontohi negara ini dalam bidang tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa negara termasuk Jepun, India dan Fiji telah datang ke negara ini bagi menjalankan kajian bagi mempelajari selok belok pengurusan koperasi sekolah.
Malah, kata beliau, ada negara yang mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Malaysia untuk melaksanakan program Pelancongan Koperasi Sekolah.
“Beberapa negara yang berhasrat menubuhkan koperasi sekolah seperti Fiji, India dan Jepun telah datang untuk membuat kajian di Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) serta mempelajari selok belok pengurusan koperasi sekolah secara serius.
“Difahamkan Iran telah mengadakan MoU dengan negara kita untuk salah satu program di bawah koperasi sekolah iaitu Pelancongan Koperasi Sekolah,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera Bandar 32 dekat sini hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, minat yang ditunjukkan itu membuktikan keyakinan negara luar terhadap Malaysia dalam pengurusan koperasi sekolah yang amat tersusun di bawah penyeliaan Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Menurut beliau, koperasi sekolah mampu memberi saingan kepada koperasi dewasa jika mempunyai perancangan tersusun dan konsisten selain semangat yang gigih daripada pelajar dan guru.
“Apa yang paling penting adalah sokongan dan ruang perniagaan yang diberikan pengetua sekolah terhadap koperasi masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment